Seni bina Seoul

Sungnyemun

Di pusat bandaraya Seoul terletaknya pejabat kerajaan, ibu pejabat korporat, hotel, pasar lama, dan pusat kota lama Dinasti Joseon. Sungai kecil Cheonggyecheon yang mengalir dari barat ke timur melalui lembah sebelum berakhir di Sungai Han, sekian lama dilitupi oleh konkrit, tetapi baru-baru ini dipulihkan hasil projek pemulihan bandar pada tahun 2005.[33] Jalan raya yang paling penting dalam sejarah di Seoul ialah Jongno (Jalan Genta) di mana terletaknya Bosingak, sebuah astaka yang menyimpan sebuah loceng besar. Genta itu pernah digunakan untuk membunyikan waktu dan oleh itu mengawal empat pintu masuk utama di kota. Kini, loceng ini hanya digunakan untuk menyambut detik tengah malam Tahun Baru (berdenting 33 kali), tetapi pernah sekali ia dibunyikan untuk menyambut bermulanya jawatan Presiden Kim Dae-jung. Di utara pusat bandar terdapat Bukhansan (Gunung Utara Sungai Han), dan di selatannya pula ialah Namsan (Gunung Selatan) yang lebih kecil. Jauh di selatan pula adalah subbandar lama Daerah Yongsan dan Daerah Mapo. Di seberang Sungai Han terbinanya kawasan yang lebih baru dan kaya di Daerah Gangnam, Daerah Seocho dan kawasan kejiranan di sekitarnya.

Seni bina bersejarah

Istana Changdeokgung

Seoul mempunyai banyak mercu tanda bersejarah dan kebudayaan. Di Tapak Petempatan Prasejarah Amsa-dong, Daerah Gangdong, tinggalan zaman neolitik diekskavasi lalu ditemui secara tidak sengaja ekoran banjir pada tahun 1925.[34]

Perancangan bandar dan sivil adalah penting sewaktu Seoul pertama kali dijadikan ibu negara pada akhir abad ke–14. Kerajaan Dinasti Joseon membina "Lima Istana Agung" di Seoul: Changdeokgung, Changgyeonggung, Deoksugung, Gyeongbokgung dan Gyeonghuigung, kelima-limanya di Daerah Jongno dan Daerah Jung. Di antaranya, Changdeokgung disertakan dalam Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1997, sebagai "contoh seni bina dan reka bentuk taman istana Timur Jauh yang luar biasa". Istana utama, Gyeongbokgung telah menjalani projek pemulihan semula berskala besar.[35] Istana-istana ini dilihat sebagai contoh terbaik seni bina zaman Joseon. Selain lima istana agung tersebut, Unhyeongung terkenal sebagai kediaman diraja Pemangku Raja Daewongun, ayahanda Maharaja Gojong pada akhir zaman Dinasti Joseon.

Seoul dikelilingi oleh tembok-tembok yang dibina untuk mengawal keluar masuk pelawat dari tempat lain, serta melindungi kota daripada serangan. Pungnap Toseong ialah sebuah tembok rata yang diperbuat daripada tanah, dan dibina di tepi Sungai Han, dipercayai pernah menjadi tapak Wiryeseong. Mongchon Toseong pula ialah sebuah lagi tembok tanah yang dibina sekitar zaman Baekje, kini terletak di dalam Taman Olimpik Seoul. Tembok Istana Seoul adalah satu-satunya tembok binaan zaman Joseon yang tinggal di Seoul.

Walaupun banyak tembok dan kubu yang roboh, namun pintu istana dan kubu telah memainkan peranan penting dalam sanubari kota, seperti Sungnyemun (Namdaemun, Pintu Besar Selatan) dan Heunginjimun (Dongdaemun, Pintu Besar Timur). Namdaemun merupakan pintu buatan kayu yang paling lama di kota sehingga hangus akibat dibakar pada tahun 2008 dan telah dibuka semula selepas kerja pembaikpulihan pada tahun 2013.[36] Berdekatan pintu-pintu gerbang ini terletaknya pasar-pasar tradisional, iaitu Pasar Namdaemun dan Pasar Dongdaemun.

Terdapat juga banyak bangunan yang dibina dengan gaya antarabangsa pada akhir abad ke–19 dan awal abad ke–2. Pintu Kemerdekaan dibina pada tahun 1897 untuk mengilhamkan semangat kebebasan daripada pengaruh China. Stesen Seoul dibina pada tahun 1900 sebagai Stesen Gyeongseong.

Seni bina moden

Plaza Reka Bentuk Dongdaemun

Terdapat banyak bangunan pejabat dan kediaman yang tinggi di Seoul seperti Pusat Kewangan Gangnam, Menara Istana, Menara Namsan Seoul dan Menara Lotte World. Bangunan tertinggi adalah Menara Lotte World yang mencapai ketinggian 555m. Ia dibuka kepada orang awam pada bulan April 2017.

Pusat Dagangan Dunia Korea yang terletak di Daerah Gangnam, menjadi tempat untuk mengadakan acara-acara eksposisi dan persidangan. Juga di Gangnam letaknya COEX Mall, sebuah kompleks beli-belah dan hiburan yang besar. Di hilir Gangnam adanya Yeouido, sebuah pulau di mana terletaknya Perhimpunan Kebangsaan, studio-studio penyiaran utama, Bangunan Kewangan Korea dan gereja Pentecost terbesar di dunia. Stadium Olimpik, Taman Olimpik, dan Lotte World terletak di Songpa-gu, di selatan Sungai Han, di hulu dari Gangnam. Dua mercu tanda moden yang baru di Seoul termasuk Plaza & Taman Reka Bentuk Dongdaemun dan Dewan Bandaraya Seoul yang baru.

Rujukan

WikiPedia: Seoul http://www.theage.com.au/news/technology/tech-capi... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/534948/S... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/534948/S... http://english.chosun.com/site/data/html_dir/2014/... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://travel.cnn.com/seoul/play/seouls-best-museu... http://koreajoongangdaily.joins.com/news/article/A... http://nwww.koreaherald.com/view.php?ud=2014052700... http://www.koreaherald.com/view.php?ud=20130430000...